Archive | February, 2011

Salahkah saya memperjuangkan Bangsa Melayu

17 Feb

Sebelum menyertai Konvesyen Memperingati 500 tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka atau lebih dikenali sebagai KEMM 1511, saya agak segan bila berbicara tentang orang melayu, sifat-sifat orang Melayu dan sebagainya. Sebab semasa di tingkatan 3, guru sejarah saya Arwah Cikgu Norzam sering menceritakan dan membandingkan kehebatan bangsa lain berbanding bangsa Melayu. Yang sering bermain di fikiran saya adalah Melayu=Layu.

Namun, sejarah perjalanan hidup saya bukan seperti yang dikatakan ‘melayu’. Alhamdulillah, bergelar seorang graduan perubatan mampu menangkis sangkaan anak melayu terkebelakang pelajarannya. Memang betul, saya berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang, yang mana pembangunannya agak terkebelakang berbanding dengan negeri-negeri di Pantai Barat, tetapi, sifat jati diri yang saya ada menyebabkan saya tidak mengalah untuk terus bangkit dan berusaha mencapai impian saya. ‘Ala kulli hal, syukur pada Allah kerana semuanya itu adalah anugerah Allah untuk saya.

Dan lagi-lagi saya bersyukur kerana saya merupakan aktivis kepada sebuah NGO Islam yang memperjuangkan bangsa Melayu, di atas slogan ‘Melayu Sepakat, Islam Berdaulat’. NGO yang saya maksudkan itu adalah Ikatan Muslimin Malaysia(ISMA). Tahniah untuk ISMA kerana mampu dan berani memperjuangkan kehebatan bangsa Melayu dan sekaligus mampu mengorek jatidiri dan potensi jiwa anak melayu yang sememangnya hebat dan penuh keberanian.

Insya Allah, saya akan terus memperjuangkan bangsa Melayu dan terus mencintai bangsa ini sehingga akhir hayat saya.  Buat zuriat saya, penerus perjuangan Mama dan Papa, saksikanlah perjuangan ini adalah berlandaskan kepada kebenaran di atas beberapa dalil

  1. Dalam Al-Quran, surah An-Naml ayat 34, “sesungguhnya raja-raja apabila memasuki suatu negeri, nescaya mereka membinasakannya dan menjadikan penduduknya yang mulia jadi hina….”. Mengapa  begitu? Hal ini disebabkan manusia mempunyai watak yang mengutamakan etniknya. Watak ini adalah sifat yang dibawa dan tidak dapat dipisahkan daripada dirinya. Dia lebih cenderung kepada orang yang mempunyai latar belakang yang sama dan mudah curiga pada orang yang tidak jelas asal-usulnya dan yang tidak sama ideology dengannya (99Q Kecerdasan Berasaskan AsmaUl Husna:Sulaiman Al-Kumayi.PTS Publication 2009)
  2. Malaikat yang membantah manusia diciptakan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini adalah salah satu bukti menunjukkan para malaikat pun turut terjebak dengan semangat mengutamakan etniknya. Allah membantah bantahan ini secara halus, sebagaimana yang dinyatakan dalam surah Al-Baqarah, ayat 30 “…sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui. ” (99Q Kecerdasan Berasaskan AsmaUl Husna:Sulaiman Al-Kumayi.PTS Publication 2009)
  3. Jika patriotism yang dimaksudkan oleh para pejuang patriotism ialah cintakan tanah air, rasa kasih dan rasa rindu atau seumpamanya,perasaan ini sememangnya sedia tertanam dalam fitrah manusia dan bertepatan dengan fitrah Islam. Bilal, walaupun beliau telah mengorbankan segala-galanya demi akidah dan agamanya, Bilal ini jugalah yang telah meluahkan rasa rindunya terhadap mekah ketika berada di Madinah Dar al-Hijrah. (Risalah Taalim)

Namun, saya harus bersederhana dalam memperjuangkan isu bangsa Melayu. Kerana baginda Rasulullah telah bersabda yang bermaksud :

        “ Allah telah membersihkan kamu daripada nilai jahiliyyah dan budaya berbangga dengan nenek moyang. Seluruh manusia berasal dari Adam dan Adam dari tanah. Tiada kemuliaan bagi orang Arab berbanding bukan Arab kecuali dengan KETAKWAAN”.

Saya memperjuangkan bangsa melayu supaya bangsa ini bersatu dan natijahnya dakwah Islamiah akan tersebar dan sekaligus mendaulatkan Islam di bumi Nusantara ini.Allah Akbar!

Jika Kita Hosni Mubarak…

9 Feb

Geram, sedih, terharu , bersemangat semuanya bercampur baur dalam diri ana tatkala saban hari mengikuti  berita terkini tentang kebangkitan rakyat Mesir menentang  Presiden Hosni Mubarak yang merupakan pro Israel laknatullah dan juga US. Plan terdekat Jumaat nanti, akan diadakan perarakan menawan istana presiden di Abdeen, Cairo.Ana hanya mampu berdoa moga Allah permudahkan usaha-usaha protesters ini untuk mengembalikan kemerdekaan yang sebenar buat rakyat Mesir. Dan tak lupa juga dalam doa ana titipkan moga kebatilan itu akan runtuh digantikan dengan kebenaran yang sebenarnya atas batu asas syariat Allah.Amin Ya Rabbal ‘Aa-Lamin.

Suatu perkongsian  dari pembacaan ana dalam buku ’99 Q Kecerdasan Berasaskan Asma Ul-Husna’ karya Sulaiman Al-Kumayi  yang mengetengahkan  nama Allah iaitu Al-Malik yang mana maksudnya zat yang tidak memerlukan segala sesuatu yang ada. Di sini penulis cuba membincangkan isu mengapa manusia suka berkuasa? Jawapannya, kerana  ‘ manusia adalah bayangan Illahi di bumi’, ini merupakan maksud sebuah hadis yang menunjukkan dalam diri manusia ada potensi Illahiah. Ataupun dalam bahasa Ibnu Arabi, sufi abad ke-13 dari Andalusia, “Allah  menyimpan di dalam diri manusia pengetahuan mengenai segala sesuatu, kemudian Allah mencegah manusia daripada melihat apa yang disimpan dalam dirinya”. Ataupun, dalam konsep psikologi, kita dapat mengatakan , pengetahuan tersembunyi itu terakam dalam minda separa sedar ( sub-concious mind).

Kembali kepada Al-Malik, potensi malik dalam diri manusia menyebabkan manusia berasa dirinya adalah pemegang kuasa tertinggi di muka bumi. Ini bertepatan dengan hadith Rasulullah saw yang bermaksud, “ Setiap kamu adalah pemimpin….”. dalam kehidupan seharian pun kita merupakan seorang pemimpin. Even surirumah  pun merupakan seorang pemimpin dalam urusan menatariaskan rumahtangganya.  Seorang ibu pun merupakan pemimpin untuk anak kecilnya. Dan bertitik tolak dari sifat itu, si ibu sanggup memarahi anaknya jika si anak melakukan kesilapan. Kerana kuasa kepimpinan itulah yang menyebabkan si ibu terlupa yang anak ini merupakan si kecil yang baru mengenal dunia dan jika kita memarahinya, itu merupakan sia-sia sahaja, kerana si kecil bukannya anak dewasa yang tahu menilai baik buruknya. Inilah merupakan pegangan ana saat-saat berdepan dengan kerenah si kecil Adam Harith!

Lihat pula pada sejarah dunia, bagaimana angkuhnya Firaun yang bukan sahaja mengaku dirinya penguasa mutlak, sebagaimana yang dinyatakan dalam surah Az-Zukhruf:51, “Firaun berseru kepada kaumnya dan berkata, “ Hai kaumku, bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku…”. Bahkan lebih dari ini, Firaun mengaku dirinya Tuhan.

Itulah kemenangan bagi Iblis laknatullah yang mana ia menguruskan potensi ini supaya dikeluarkan dan kemudian memperdayakan manusia supaya merasa dirinya adalah setara dengan Allah Al-Malik. Dengan demikian manusia menjadi sombong dan melampaui batas apabila manusia lupa dan terpedaya dengan rancangan hebat si Iblis ini.

Itulah diri Hosni Mubarak dan kuncu-kuncunya. Bilamana manusia diuji sama ada dengan sedikit kuasa yang ada padanya, mereka mampu membawa umat manusia kea rah sejahtera, ataupun sebaliknya. Kekuasaan hanya menimbulkan malapetaka bagi manusia. Manusia hanya mahu menang sendiri. Manusia lebih suka menindas dan menzalimi sesamanya, mengeksploitasi dan ‘memperkosakan’ hak-hak saudaranya demi memuaskan kepentingan sendiri.

Sedarlah wahai jiwa setiap pemimpin, apa yang dapat kita miliki? Kita sendiri adalah milik Allah. Justeru, mengapa kita yang diberi potensi malik, tidak mahu menjadikan Al-Malik sebagai pemimpin?

 

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.