Aqidi dan Masiri

6 Sep

 

Dalam tadarrus nurani
Kukirim tinta cinta ke langit tujuh
Merisik naskhah rahsia
Menjilid kitab percintaan
Tuhan,
Dalam sujud tertunduk
Labuhkan rindu dendamku
Pada dermaga perkasihan
Yang tercipta untuk seorang Adam
Untukku temu dalam rentang
sejadah pernikahan.

Saya kesat hangat air yang mengalir di pipi. Selendang sutera bertenun emas saya labuhkan ke bahu. Cincin emas berhias kemilau permata tiga menggamit mata. Lama saya tenung jari manis tirus yang akhir dipaut satu ikatan yang separuh mengikat diri saya dengan seorang adam. Benar, dia adam yang membayangi dalam mimpi, memanggil dalam samar dalam bersih jubah putih suci lantas membisik-bisik dengan parau suara yang menggetar nurani.

” aku adalah akidahmu, sebutlah nama TuhanMu bahawa kau akan kusantuni”.

Lalu dia menghilang dalam renung bening mata yang berbekas dalam ingatan.

Saya tersedar, istighfar dan syukur basah di bibir. Gelora cinta mula membuak, dihambat rindu yang mengasak dada. Mengapa sekarang sungguh kurasa bagai musafir haus dalam tandus padang pasir mengharap setitis air. Begitulah rasa seorang pencinta yang dahagakan redup pandang kekasihnya.Sungguh pertemuan yang singkat tadi telah Allah campakkan sejuta kecintaan yang benar-benar hidup!

” enti, diri enti baru separuh milik ana, tapi ini bukan bermakna Allah izinkan kita bercinta. Ana harap enti faham, ana serahkan enti dalam jagaanNya, belum halal kita untuk berhubung walau ana jujur, hakikat hati bahawa tiadalah sabar untuk bersama enti.”

Dia berjeda. Matanya kerap dilarikan ke kiri ke kanan apabila menatap wajah saya buat pertama kali. Saya relakan niqab dibuka moga tuntutan hadith nabi bisa dipenuhi. Mohon saya, agar wajah ini bakal dia senangi untuk saya hiasi hari-hari hidupnya yang mendatang. Debar saya beralun dalam debarnya dan saya menghambatnya dengan zikir di hati.

“andai rindu dan cinta meruntun hati, lekas-lekaslah enti berwudhu’, bukalah mashaf dan bacalah dengan sekhusyuknya. Kerana itu bukanlah kerinduan yang halal untuk kita, bahkan syaitan yang cuba memesong hati agar ikatan kita mendasari nafsu yang merosakkan”

” ana faham, insyaAllah.” Sekadar itu. Hanya sekadar itu saya membalas. Kelu berkata tanda ada hati yang sedang berbicara. Namun ia tidak terlafaz pada bibir yang tekekang untuk bersuara. Duhai adam, andai kau tahu segunung syukur kupanjatkan atas lamaranmu, betapa hadirmu bagai bulan yang menyimbah gelap bumi di malam hari.

Dan nikmat tuhan yang mana yang kamu dustakan!

Saya berlalu ke bilik air untuk berwudhu’. Sesekali dingin air yang mengalir menyumsum ke dalam tulang mengaliri hati setenang aliran Nil mengutus Musa ke mahligai Firaun, lantas bayi mungil itu mengukir sejarah agung menundukkan seorang Thaghut yang menyesatkan. Tuhan, andai saya adalah ibu Musa, maka nikmat Tuhan mana yang saya harus dustakan!

2 rakaat saya tunaikan solat syukur. Ya Illahi, akanku penuhi tempoh pertunangan ini sebagai persediaan terakhir untuk membina sebuah baitul muslim bersama seorang lelaki yang akanku persembahkan segala ketaatan, agar kecintaan yang berbuah-buah ranum dalam cinta buat suami yang bakal kami lahirkan zuriat yang menjadi kader-kaderMu kelak.

Sungguh Illahi, impianku agar aku bisa menghadiahkan kepadaMu seorang lagi Salehuddin Al-Ayubi, seorang lagi Al-Farouq yang memimpin dunia, seorang lagi Al-Siddiq yang hatinya lembut mengasihi seluruh insan, seorang Muaz bin Jabal yang menjadi kerinduan kekasihMu, Muhammad. Maka kurniakanlah aku suami seperti Zubair bin Awwam sebagaimana Umar mengagumi anaknya kerana didikannya. Ya Illahi, kau peliharalah diri dan hati aku dan dia dari pesongan nafsu yang mengundang laknatMu hingga akhirnya kau tarik kembali semanis-manis nikmat ini.

Mata saya semakin sarat dengan air mata. Gentarnya andai nikmat ini adalah ujian untuk saya memiliki cintaNya.

Saya bangun dan duduk di birai katil, lalu mencapai diari . Bagaimana akhirnya saya menerima dirinya, membuat keputusan setelah hampir setahun dilamar. Saya akur, memilih suami bukanlah seperti memilih bunga atau buah. Cukup hanya terpikat dengan tarikan warna luaran lantas kita terus memetiknya.

Sedangkan memilih suami ibarat memilih aqidah, yang nanti bakal menentukan bagaimana akhirnya hayat saya. Sungguh saya tidak mahu menyesal memperhambakan diri pada seorang lelaki yang akan saya persembahkan segala milik diri. Hanya satu yang amat saya harapkan agar lelaki ini bakal memandu langkah saya menjadi tetamu Allah di syurgaNya.Dan Akhirnya kami kembali menyemarakkan segala cinta dan kasih dalam anggun taman syurga.

Saya membuka sehelai demi sehelai tulisan diari. Saya terhenti pada satu halaman yang dakwatnya sudah mengembang. Kesan basah air mata yang entah bila saya tumpahkan.

‘ Tuhan, andai benar satu hari akan kau serahkan diriku buat seorang Adam, biarlah dia seorang yang punya fikrah yang kuat berdakwah, yang tidak redha dengan kemaksiatan, yang lincah mentarbiyyah umat, yang tidak langsung berlengah untuk menyerah harta dan jiwanya pada jalanMu, yang tenaganya tidak sedikit pun berbaki untuk dia mengejar dunia, yang hatinya tertaut pada masjid, yang malamnya hidup untukMu dalam tahajud yang menyuci jiwa, yang apabila aku memandang wajahnya, bertambah-tambah pujianku buatMu, yang apabila melihat akhlaknya, melimpah-limpah kerinduanku pada KekasihMu, dan tidurnya dalam dakap kitab suciMu kerana letih mentadabbur Al-Zikr, yang bibirnya tidak sunyi dari lantunan zikir dan hafazan surah-surah penghibur hati, yang apabila katanya penuh nasihat dan guraunya adalah sedikit kerana gentar akan kematian yang bila-bila masa sahaja menjemput.’

-PD-
inilah isi diari saya lewat 2 tahun yang lalu!

Bukanku mengharap kepada kesempurnaan, tetapi kerana pernikahan adalah saparuh kepada penyempurnaan agama, maka izinkan aku sempurnakan pernikahan ini dengan lelaki persis dengan akhlak KekasihMU..

” sesungguhnya orang itu tergantung kepada agama temannya. Dan seseorang itu tidak dikenali kecuali dengan melihat temannya.” Ihya’ Ulummudin, Imam Ghazali.

Setelah setahun saya merisik dengan melihat agama rafiknya, menelusuri fikrahnya yang penuh dengan agenda dakwah, yang saya yakini kematangannya dalam agama dapat membawa saya terus menjadi pendampingnya dalam manhaj dakwahnya, dan dengan izin Allah, dengan penuh ketulusan saya serahkan hati ini untuk dia sempurnakan ikatan dengan satu lafaz yang merubah segalanya.

Terima kasih Illahi kerana mempertemukan saya dengan dirinya!

PERNIKAHAN IBARAT BERBUKA PUASA,LAFZKANLAH HAJAT JIKA TERASA SUDAH TIBA MASANYA, IAITU SETELAH BEKALAN UNTUK MENAKHODA BAHTERA PERNIKAHAN CUKUP SEISINYA, USAH IA DILAFAZKAN SEAWAL SAHUR, KELAK BASI CINTA DAN RASA LANTAS KAPAL AKAN KARAM KERANA HAMBAR ANGIN CINTA YANG MEMANDUNYA.

nukilan ukht lailatulmawardah, uia gombak.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: