Protaz…???

6 Sep

‘Ummi,insya allah,saya akan menjadi pakar bius muslimah ‘

‘Ayah,tengoklah,anakmu ini akan bergelar arkitek muslim bertaraf dunia’

‘Belajarlah bersungguh-sungguh wahai anakku,suatu hari nanti dunia bangga akan mempunyai peguam muslim seperti kamu’

            Inilah bait-bait kata yang sering kita dengar saban hari tatkala menerima tawaran kemasukan ke universiti dalam bidang yang ditawarkan mahupun sebagai perbualan harian bersama kawan-kawan di kampus.Kata-kata ini juga merupakan azimat yang tersemat kukuh dalam dada setiap pelajar yang mempunyai impian untuk menyeimbangkan ilmu duniawi dan juga ilmu ukhrawi untuk mencapai keredhaan Allah. Fenomena ini amat bertepatan dengan ajaran Islam yang tidak sesekali memisahkan duniawi dan juga ukhrawi dalam kehidupan setiap hambaNya.Ini terbukti dengan kelahiran ramai  professional muslim yang bertaraf dunia seperti Kapten Hafiz Firdaus, Dr Danial Zainal Abidin dan Dr Harlina Halizah Haji Siraj yang bukan sahaja bergelar kapten atau doktor, bahkan mereka juga bergelar ustaz atau ustazah dalam bidang yang mereka kuasai. Masya Allah,betapa bangganya kita sebagai umat Islam yang mempunyai barisan professional muslim seperti mereka. Ini bertepatan dengan ramalan cendekiawan barat yang mengandaikan abad ke-21 merupakan abad beragama.Ini dibuktikan dengan keinginan untuk kembali kepada ajaran agama berlaku kepada sebahagian besar penganut agama-agama di dunia.Ia tidak berlaku hanya kepada umat Islam tetapi turut berlaku kepada penganut Kristian, Yahudi, Hindu dan lain-lain. Bahkan ketika negara-negara membangun sedang sibuk dengan era ICT (teknologi maklumat) dan bioteknologi, negara-negara maju telah bercakap tentang ‘Dream Society’ iaitu satu masyarakat yang kaya dengan nilai-nilai murni sebagai pengganti ‘Information Society’.

            Professional muslim ditakrifkan sebagai individu atau golongan yang pada asalnya bukan mengambil bidang agama sebagai jurusan utama. Mereka ini doktor,jurutera dan sebagainya tetapi mereka ini akhirnya mendalami dan menguasai dua bidang sekali gus iaitu agama dan professional.Inilah golongan yang dinamakan golongan acuan Islam yang sebenarnya.Acuan yang berjaya melahirkan umat Islam yang mampu menguasai pelbagai bidang. Senario ini bukan baru kerana sebelum ini ramai tokoh professional muslim ini mengharumkan perkembangan Islam, seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Al-Kindi ,Al-Zahrawi dan sebagainya.Berbalik kepada sirah Rasulullah SAW, baginda juga mengajarkan kepada para sahabat sehingga mereka berjaya menjadi individu yang ‘multi tasking’ ataupun seorang individu yang mampu melakukan pelbagai tugas sepanjang hidupnya. Hal ini kerana minda dan hati mereka dididik sehingga sedia melakukan pelbagai kerja. Kita lihat contoh,Saidina Umar Al-Khattab.Beliau merupakan seorang ahli feqah yang kuat beribadah, seorang pemimpin yang terkemuka dan perwira perang yang hebat dan mampu menguasai sebuah empayar.Inilah seorang individu yang hebat hasil dididikan Rasullah saw.Maka, tidak hairanlah untuk merealisasikan konsep professional muslim akan tercapai selagi kita berpegang teguh pada ajaran agama,al-quran dan as-sunnah.          

            Namun begitu, dalam impian dan semangat yang membara untuk melahirkan golongan professional muslim, tidak dinafikan juga masih banyak lagi halangan yang perlu dilalui oleh golongan ini.Salah satunya adalah cabaran dari segi ilmu yang dipelajari.Tanpa kita sedari,dunia semakin menginjak ke alam senja,alam yang penuh dengan pancaroba dan fitnah duniawi. Kejahilan tentang agama serta sikap acuh tak acuh dengan agama wujud di mana-mana saja pada hari ini. Berhubung dengan ini, Nabi bersabda, ‘Antara tanda hari kiamat ialah terangkatnya ilmu dan berleluasanya kejahilan'(Riwayat Bukhari dan Muslim). Kejahilan tentang ilmu agama terutamanya di kalangan golongan muda amat ketara pada hari ini.Sebagai contoh, keputusan PMR bagi tahun 2000 di sudut fardhu ‘ain amat menyedihkan.6779 pelajar gagal dalam matapelajaran ini. 616 daripada mereka gagal dalam aspek mengucap dua kalimah syahadah,1553 gagal dalam aspek rukun islam dan 1901 pula gagal dalam aspek rukun iman.Adakah golongan ini yang akan dinobatkan sebagai golongan professional muslim  suatu hari nanti? Terjaminkah Islam di tangan mereka? Jawapanya,sudah tentu tidak.Jadi,secara intipatinya, ilmu merupakan aspek dan cabaran yang terpenting dalam melahirkan golongan professional muslim.Tanpa ilmu, umat Islam mudah terpedaya dengan muslihat musuh sehingga akhirnya nilai kehidupan dalam masyarakat turut berubah, Yang batil menjadi haq dan yang haq menjadi batil. Manifestasi ini amat ketara pada era dajal. Nabi bersabda, ‘sesungguhnya Dajal akan membawa air dan api. Apa yang dilihat manusia sebagai air, sebenarnya adalah api yang membakar. Apa yang dilihat sebagai api, sebenarnya itu adalah air yang sejuk lagi lazat…(Riwayat Bukhari dan Muslim). Sebagai contoh, peristiwa 11 September 2001, telah meletakkan umat Islam sebagai pengganas dan akibatnya umat Islam ditindas,isu tudung diapai-apikan,banyak negara Islam diserang tanpa perundingan dan yang teraniayai terus dikhianati tanpa rasa belas kasihan. Tetapi, dengan adanya ilmu fizik dan ilmu binaan bangunan yang mengkaji kenapa WTC runtuh dalam masa yang kurang dari 8 saat,adakah kerana dibom atau kerana perlanggaran kapal terbang?; hari ini kita mampu membuktikan umat Islam bukan pengganas,bukan juga pengkhianat seperti yang dituduh oleh kerajaan Bush.

            Bagi merealisasikan golongan professional yang celik agama, golongan ini perlu terlebih dahulu mempelajari dasar-dasar pembinaan hukum Islam  seperti usul Fiqh,ayat-ayat hukum, hadis-hadis hukum dan tafsir Al-quran.Namun demikian, dalam memahami kaedah-kaedah hukum tersebut, perlu diambil kira pemahaman bahasa Arab kerana majoriti kitab-kitab muktabar dihasilkan dalam bahasa Arab.Cara ini tidak memerlukan belajar bahasa Arab.Cukup sekadar memahirkan diri dengan istilah-istilah yang digunakan di dalam ilmu-ilmu berkenaan.Sekilas pandang cukup menyusahkan, tetapi seperti kata pepatah melayu, ‘jika ada kemahuan,di situ ada jalan’.Ya,selagi kita mencintai untuk mempelajari ilmu,Allah akan memudahkan jalan untuk kita menuntut ilmu, yang penting kemahuan mendorong ke arah tersebut.Manakala di peringkat sekolah pula,demi melahirkan golongan professional muslim di kemudian hari, faktor pendidik lebih penting dari silibus pelajaran.Walaupun adakalanya silibus tidak lengkap, tetapi jika pendidik lengkap, ia memudahkan. Dalam silibus sains seumpamanya, silibus sains itu tidak lengkap tetapi pendidik yang memahami sains dapat mengaitkan silibus sains tadi dengan kejadian alam.Sebagai kesimpulannya,ilmu merupakan aset yang penting dalam melahirkan golongan cendekiawan Islam yang unggul bukan sahaja dapat mengusai teknologi canggih tetapi mampu digelar da’ie yang taat pada agama.

            Wawasan untuk membentuk generasi professional muslim ini hanya akan menjadi mimpi yang indah sahaja jika penghalang-penghalang terhadap keberkesanannya tidak dimansuhkan.Betapa indah pun sesuatu impian dan wawasan tetapi jika halangan kepadanya tidak diatasi,ianya akan menjadi kata-kata yang indah di atas kertas sahaja.Bagi wawasan professional muslim juga ianya mempunyai cabaran-cabaran yang tersendiri.Antara yang menjadi halangan yang utama ialah sikap dan persepsi masyarakat kita sendiri. Selagimana masyarakat kita masih lagi bermentaliti ‘hiburan centric’ selagi itu konsep professional muslim amat sukar direalisasikan.Selagi masyarakat kita masih lagi menjadikan Akademi Fantasia, Malaysia Idol, Audition dan banyak lagi siaran yang diadaptasi dari media barat ini sebagai input minda mereka, selagi itulah wawasan yang indah ini tidak akan berjaya.Secara mudahnya, hiburan merupakan cabaran yang utama dalam pembentukan generasi professional muslim ini. Dalam agenda negara menuju era globalisasi dan teknologi maklumat, tidak disangkal lagi,dalam masa yang sama,peniruan dan cedokan budaya barat turut berlaku.Hal ini menyebabkan masyarakat terutamanya golongan pemuda dan pemudi mengalami impak yang teruk.Anak-anak muda ini terkeliru antara yang benar mahupun salah.Antara budaya timur mahupun budaya barat. Saban hari,kita mendengar kes-kes yang melibatkan remaja seperti rogol,lumba haram, penyalahgunaan dadah,bersekedudukan dan bermacam-macam lagi di kaca-kaca televisyen mahupun di dada-dada akhbar yang mengambarkan kerosakan akhlak dan keruntuhan budaya anak-anak muda pada hari ini.Namun,persoalannya,siapakah yang bertanggungjawab terhadap angkara ini? Kepada siapakah yang patut ditunding jari terhadap masalah ini? Salah satunya sumber yang mempengaruhi perubahan budaya dan sikap anak-anak muda ini ialah hiburan barat yang diadaptasikan ke dalam budaya timur. Masyarakat tenggelam dalam arus hiburan yang amat melalaikan ini. Mereka bangga dengan program-program yang berbentuk hiburan seperti Jom Heboh, Malan Fiesta Idola dan sebagainya yang semata-mata bertujuan untuk menghiburkan rakyat dan kesannya dapat dilihat pada peningkatan angka-angka kes rogol,kecurian, anak luar nikah dan sebagainya. Barangkali inilah amaran yang diperingatkan Allah kepada umat Islam tentang hakikat dunia sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Hadid ayat 20 yang bermaksud ‘ketahuilah bahawa(yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan(yang melalaikan) serta perhiasan(yang mengurangkan) dan (juga hidup yang bertujuan) bermegah-megah antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak’. Bagi golongan professional muslim, inilah cabaran-cabaran yang perlu diatasi dalam menjayakan wawasan tersebut.

            Walau bagaimanapun, halangan yang paling utama dalam merealisasikan konsep professional muslim ini adalah perkara dalaman di dalam jiwa umat Islam itu sendiri.Persoalan sejauhmana kita ingin membuat perubahan, sejauh mana kita bersedia untuk hidup demi Islam perlu dijawab oleh hati-hati yang inginkan wawasan ini termeterai.Untuk melahirkan individu atau golongan professional muslim ini memerlukan perubahan dan ajakan paradigma di setiap peringkat termasuklah individu mahupun masyarakat.Individu yang berkehendakkan kepada perubahan ini perlulah bersikap proaktif dalam menuntut ilmu-ilmu yang bermanfaat, mengisi masa-masa terluang dengan amal yang diredhai, menambahkan ilmu melalui pembacaan dan pemerhatian serta melakukan amar ma’ruf nahi mungkar dan yang lebih utama bertaqarrub padaNya.Satu anologi yang boleh diterjemahkan dalam fenomena ini ialah  jika hidangan lauk pauk yang dilazat tidak dimakan atau disentuh oleh orang sekelilingnya, maka, kelazatan lauk pauk itu hanya meniti dari bibir ke bibir tanpa merasainya. Begitulah wawasan untuk melahirkan professional muslim,jika ia hanya meniti dari bibir ke bibir,ia tidak akan direalisasikan.Tetapi,jika ada tangan yang ingin menyuapkan lauk-lauk itu untuk merasainya, sudah tentu kelazatannya dapat dirasai.Begitulah juga dengan wawasan ini,jika individu-individu ini berusaha untuk menuntut ilmu,meningkatkan amal ma’ruf dan memperbaiki kekurangan diri,Insya Allah, wawasan ini akan direalisasikan dalam masyarakat hari ini dan akan datang. Jika dilihat pada segelintir pelajar-pelajar hari ni, mereka lebih berminat untuk menuntut ilmu berbanding untuk berfikir apa yang tersirat di sebalik ilmu tersebut.Inilah yang disebut sebagai bertaklid dalam menuntut ilmu.Tetapi sebaliknya, sikap yang suka beraugmentasi dalam menuntut ilmu, mementingkan pengkajian serta mengambil berat tentang kesahihan ilmu yang dipelajari merupakn karateristik yang perlu ada dalam rangka untuk melahirkan golongan professional muslim suatu masa nanti.

            Tanggungjawab dan fungsi golongan professional ini tidak dapat dinafikan lagi.Mereka inilah golongan yang akan mengintegrasikan antara ilmu sains dan juga ilmu agama di dalam dunia yang sedang menuju era sains dan globalisasi.Namun begitu, cabaran dan halangan yang terpaksa mereka tempuhi seperti cabaran ilmu,hiburan dan jiwa mereka sendiri perlulah di atasi dengan bijaksana dan berhikmah.Jika cabaran ini masih membelenggu mereka,lambat laun,wawasan untuk mewujudkan golongan professional muslim ini akan terbengkalai.Sedarlah wahai saudaraku, kalau kita masih menunding jari untuk mencari kesalahan orang, kalau kita masih belum mampu untuk memikul tanggngjawab membela agama,kalau kita masih sangsi dengan kebenaran beragama,kepada siapakah agama ini akan diwariskan? Terbelakah Islam di tangan mereka seperti ini? Mampukah kegemilangan Islam bangkit kembali jika keadaan sedemikian terjadi? Jawapannya, sudah tentulah tidak. Jadi, apa salahnya jika kita mengorbankan sedikit masa kita,harta kekayaan kita untuk sama-sama menaikkan ke’izzahan Islam di mata dunia.Ingatlah,Islam itu agama yang dagang.Kesimpulannya, agama akan terbela jika adanya golongan yang sanggup untuk menjaganya.Jadi,golongan professional muslim merupakan titik tolak kepada pembelaan Islam memandangkan mereka mempunyai ilmu yang sahih berkaitan sains dan juga agama.Moga, wawasan untuk mewujudkan golongan professional muslim ataupun professional ustaz atau pun protaz terlaksana dan direalisasikan dengan jayanya memandangkan dunia sekarang hanyut dalam arus pembangunan dan teknologi canggih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: