Archive | November, 2010

Sabarlah Ibu…Didiklah Daku

23 Nov

Alhamdulillah, anakku kini sudah menginjak usia 10 bulan. Sukar dinukilkan oleh kata-kata betapa seronoknya perasaan si ibu melihat perkembangan fizikal, motor dan kognitif si mungil ini yang selari dengan pertambahan umurnya. Anak kecil ini tidak mengerti apa-apa melainkan bermain, makan dan tidur. Dari sehari ke sehari, si kecil ini mula meng’explore’ apa yang ada di sekitarnya, dari kamar tidur ke bilik mandi dan seterusnya peralatan dapur. Baginya, semua objek yang ditemui adalah alat permainannya. Di sinilah kesabaran si ibu diuji dalam melayan telatah anak-anak sekaligus untuk mendidik anak kecil ini menjadi insan yang berguna,pendokong risalah Islam suatu hari nanti.

Bagi si ibu yang bijak, tidak sama sekali menyamakan anak yang kecil dengan orang dewasa. Keperluan dan keupayaan anak kecil ini sama sekali berbeza. Di sinilah diperlukan kesabaran yang tinggi dalam membimbing dan mengarahkan anak-anak untuk melakukan hal-hal yang baik. Seorang ibu senantiasa bersifat kreatif dan proaktif mencari idea untuk mendidik anak-anak supaya berbuat baik dan sebagainya, tetapi, kadang-kadang di situ ada ketidaksabaran si ibu dalam mengamalikan idea tersebut yang akhirnya akan menghalang kesuksesan mendidik seorang anak.

Bagi ibu bapa, hendaklah bersabar terhadap teriakan anak, sabar ketika anak sakit, sabar dalam memberi pengarahan, sabar ketika menghantar anak ke sekolah, sabar ketika menyediakan keperluan anak-anak dan sebagainya. Begitu juga dengan emosi ibu bapa, seharusnya tidak mudah marah, tidak bosan dan mudah berputus asa. Sepertimana sabda Rasulullah SAW, “Cukup seseorang berdosa apabila menyia-nyiakan anak yang diasuhnya.”(HR Abu Daud)

Sebagai ibu bapa muslim, kita hendaklah faham dan sedar bahawasanya anak itu adalah amanah untuk kita, adapun hidayah itu adalah milik Allah. Maka, hendaklah kita mencurahkan segenap kemampuan dan kasih sayang kita untuk mendidik anak-anak agar menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat dengan penuh kesabaran dan keimanan. Salah satu tips untuk menguatkan kesabaran kita dalam mendidik anak-anak adalah dengan hanya sentiasa mengharapkan pahala dari Allah atas segala penat lelah dan kesusahan yang kita alami semasa proses mendidik anak-anak.

Rasullah bersabda yang maksudnya, “Sesungguhnya di syurga terdapat kedudukan yang tidak dapat dicapai kecuali tiga golongan manusia iaitu imam yang adil, orang yang menjaga silaturahim dan ibubapa yang sabar mengasuh anak-anak.” Ali bin Abi Thalib bertanya, “ Apa yang dimaksudkan dengan ibubapa yang sabar menngasuh anak-anak?” Rasulullah menjawab, “ Iaitu ibubapa yang tidak menyebut-nyebut pengorbanan yang telah diberikan kepada anak-anak.” (HR Ad-Dailami dari Abu Hurairah r.a)

Semoga kita menjadi ibubapa yang sabar dalam mendidik anak-anak supaya natijahnya anak-anak ini Berjaya di dunia dan di akhirat. Oleh itu, ayuh tingkatkan kesabaran dalam mendidik si kecil ini !

Advertisements

Menjadi Pasangan Paling Bahagia 1: Awalinya dengan Niat

22 Nov

Musim cuti sekolah tiba lagi. Sinonimnya, musim walimah kembali mengisi hari-hari mendatang sehingga awal tahun 2010! Saudara mara jauh dan dekat  bertemu mata, mengeratkan silaturahim dan saling bertanya khabar. Riuh rendah riang gembira sanak saudara memeriahkan lagi suasana majlis perkahwinan. Namun, bagi pasangan mempelai, mungkin ada debaran atau memujuk hati untuk bersabar buat beberapa ketika lagi.

Memulakan kehidupan suami-isteri memerlukan dasar atau batu asas yang kukuh agar pelayaran bahtera rumahtangga  tetap utuh dan mantap walaupun pelbagai badai yang melanda agar tidak karam di tengah lautan pelayaran. Wajib bagi pasangan mempelai yang baru melangkah ke alam rumahtangga  itu mengawali kehidupan mereka dengan niat bahawasanya perkahwinan ini merupakan ibadah kepada Allah Yang Esa, bukan didasari oleh nafsu atau harta kekayaan semata-mata.    Dengan niat yang suci itu, akan mengingatkan dan memotivasikan pasangan suami isteri untuk terus  beramal dengan amal-amal islami dan agar tidak terpesong dari syariat Allah. Dengan niat  Lillahi Taala, setiap masalah yang melanda rumahtangga  akan diadukan kepada yang Maha Agung agar setiap ahli rumahtangga tenang dan tabah menghadapi ujian tersebut.

Hakikat ibadah adalah ketaatan dan ketundukan mutlak kepada Allah. Abu A’la Maududi menjelaskan, “Takut anda kepada Allah dalam segala urusan hidup anda setiap waktu, sikap anda yang menjadikan keredhaan Allah sebagai tujuan,kesediaan anda untuk mematuhi undang-undangNya, penolakan anda terhadap tiap-tiap keuntungan yang mungkin anda dapat dengan derhaka kepadaNya, dan kesabaran anda atas tiap-tiap kerugian yang menimpa anda kerana taat kepadaNya, itulah merupakan ibadah anda kepada Allah.” Hal ini sebagaimana firmanNya, “ Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu.” (Adz-Zaariyat:56)

Setiap pasangan suami isteri mengimpikan sebuah rumahtangga yang bahagia yang hidup dalam rukun damai tanpa adanya pertikaian dan pergaduhan. Mereka juga mengimpikan agar rumah tangga yang dibina merupakan momentum untuk melakukan penghijarahan atau perubahan ke arah yang lebih baik, ibarat kata pepatah, “Hari esok mesti lebih baik dari hari ini, dan hari ini lebih baik dari hari semalam.”Jadi, dengan mengawali rumahtangga dengan niat ibadah untuk mencapai redha Allah, semoga momentum tersebut mampu dilakukan dengan jayanya.

Alangkah ruginya pasangan yang hanya memasang niat yang baik diawalnya, tetapi, tiada misi dan visi untuk membangunkan rumhatangga tersebut mengikut neraca syariat Allah. Sebaliknya pula, jika tiada niat di awal perjalanan rumahtangga akan menyebabkan pasangan itu mudah berputus asa dan futur  dalam komitmen untuk membangunkan sebuah rumahtangga yang bahagia. Jadi, untuk memperoleh rumahtangga yang bahagia dan diberkati Allah, mesti seimbangkan antara niat dan juga misi dan visi rumahtangga.

 

Dilema Wanita Berkarier

8 Nov

Kita ingin melihat di dalam rumahtangga muslim ini, ibu muslim yang memelihara anak-anaknya dan membentuk mereka menurut bentuk Islam kerana dialah yang sentiasa berdamping dengan mereka. Inilah risalah, amanah dan tugas para wanita dan isteri yang paling penting yang selama ini cuba dihapuskan oleh musuh-musuh Islam.”

Bila direnung kembali petikan di atas, ana merasakan serba salah dan serba tak kena dengan apa yang ana alami sekarang. Walaupun kini, ana merupakan suri rumah sepenuh masa, tetapi tempohnya akan tamat awal tahun hadapan! Ana akan memulakan ‘housemanship’/ doctor muda di Hospital Ampang yang telah sedia maklum, alam Houseman ini merupakan fasa yang penuh dengan kesibukan  yang tiada taranya. Subhanallah, ana perlu menikmati bait-bait waktu yang masih berbaki ini untuk berbakti pada zaujiy habibi dan untuk mendidik si kecil Adam Harith.

Sementelahan dua hari lepas, ana ditugaskan untuk membentangkan tentang Baitul Muslim di dalam usrah ana, ana memetik slide Ustaz Fauzi Asmuni yang mengandungi kata-kata di atas. Dan antara isunya, wanita atau lebih spesifik lagi seorang ukhti perlu bekerja atau menjadi suri rumahtangga???

Wanita berkarier

Seringkali ana tertanya-tanya dalam diri ini, perlukah seorang wanita itu keluar rumah dan berkerja? Sedangkan jika wanita itu seorang isteri, bukankah suami merupakan insan yang bertanggungjawab memberikan isteri dan anak-anak nafkah makan minum pakaian? Jika wanita itu masih single, bukankah walinya atau si ayah wajib memberikan wang untuk perbelanjaannya? Tetapi, bila ditanya kepada ibu-ibu yang berkerjaya, bermacam-macam pendapat yang diutarakan. Antaranya, berkerjanya seorang wanita itu adalah untuk mencari rezeki tambahan bagi menampung pendapatan suami. Dalam erti kata yang tulus, dunia hari ini menuntut untuk hidup bermewah-mewahan. Tak cukup dengan apa yang ada pada kita, kalau boleh ingin lebih dari orang sekeliling. Nauzubillah min zalik, moga diri ana dijauhkan dari alasan ini untuk bekerja! Ada juga pendapat yang mengatakan , ‘saya bekerja kerana ingin mempraktikkan skill yang ada.’ Ada juga yang mengatakan , ‘saya bekerja kerana saya minat dengan pekerjaan ini.’ Memang tak dapat dinafikan, fenomena sekarang ini menujukkan wanita lebih terkehadapan berbanding kaum lelaki, tengok saja nisbah wanita dan lelaki di universiti! Jadi, pasaran untuk wanita berkarier lebih besar dan hebat berbanding lelaki walaupun persaingan untuk jawatan tertentu sengit juga.  Itulah merupakan pendapat secara lahiriah sahaja, tetapi, perlu setiap wanita itu ketahui, kita dibesarkan dalam kerangka dakyah musuh-musuh Islam yang ingin menyesatkan kita. Mereka mempropagandakan wanita muslimah yang menjaga kehormatannya dan kesuciannya dengan tinggal di rumah adalah merupakan wanita-wanita pengangguran dan terkebelakang. Begitu juga dengan wanita yang menutup aurat atau menegakkan hak-hak untuk bertudung, dilabelkan sebagai jumud.

Subhanallah, suara-suara sumbang itu merupakan kata-kata syaitan durjana untuk menyesatkan ummat Muhammad saw. Sepertimana firmannya :

“Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaithan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapak kalian dari jannah, ia menanggalkan dari kedua pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya.” (Al A’raf: 27)

Tetapi, kita tidak menafikan peranan dan urgensi seorang wanita di medan kerjaya. Seorang pendidik kanak-kanak ,contohnya,sinonim dengan jiwa keibuan seorang wanita. Terasa jelak bila kaum Adam mengambil alih peranan ini! Ustazah-ustazah yang mendalami bidang fiqh sangat cocok dengan kaum wanita untuk mengetahui dengan lanjut masalah-masalah berkaitan. Dalam bidang perbidanan dan sakit puan pula, urgensi doctor wanita amat diperlukan, demi menjaga aurat dan maruah ibu-ibu di luar sana. Bagi ana, perhubungan wanita-wanita lebih mudah dan berkesan, mungkin terdapatnya aura yang sama, walaupun sebagai hubungan pembeli-penjual!

Peranan si Ibu

Betapa hebatnya peranan seorang ibu  walaupun hanya berkhidmat di rumah! Si ibulah yang membentuk anak-anak berlandaskan syariat Allah sehingga si anak mampu menjadi seorang yang berdikari dan juga pendokong risalah ini. Benar kata-kata pujangga, “ Di sebalik kehebatan seorang lelaki, pasti ada kehebatan seorang wanita”, iaitu ibunya yang mendidik, mengasuh dan mengajar adab-adab islami kepada si anak. Walaupun hanya bekerja di rumah, tetapi, gelanggang itu terlalu besar ruangnya dan juga peranannya.

Telah termaktub dalam Al-Quran yang mana Allah berfirman :

“Dan tetaplah kalian (kaum wanita) tinggal di rumah-rumah kalian.” (Al Ahzab: 33)

Pekerjaan Wanita di dalam Rumah

Beberapa pekerjaan wanita yang biasa dilakukan di dalam rumah:

1. Beribadah kepada Allah swt.Tinggalnya  si ibu di dalam rumah merupakan alternatif terbaik karena memang itu yang diperintahkan  Allah dan dapat beribadah dengan tenang. Allah swt berfirman (artinya):

“Tetaplah kalian tinggal di dalam rumah-rumah kalian dan janganlah bertabarruj sebagaimana tabarrujnya orang-orang jahiliyah yang pertama. Tegakkanlah shalat, tunaikan zakat, dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya.” (Al Ahzab: 33)

2. Wanita berperanan memberikan ketenangan kepada suami.

Namun tidak akan wujud kecuali sang isteri melakukan beberapa hal berikut ini:

– Taat sempurna kepada suaminya dalam perkara yang bukan maksiat bahkan lebih utama daripada melakukan ibadah-ibadah sunnah. Rasulullah saw bersabda:

“Tidak boleh seorang wanita puasa (sunnah) sementara suaminya ada di tempat kecuali setelah mendapat izin suaminya.” (Muttafaqun ‘alaihi)

– Menjaga rahsia suami dan kehormatannya dan juga menjaga kehormatan diri sendiri disaat suaminya tidak ada di tempat. Sehingga menumbuhkan kepercayaan suami secara penuh terhadapnya.

– Menjaga harta suami. Rasulullah bersabda:

Sebaik-baik wanita penunggang unta, adalah wanita yang baik dari kalangan quraisy yang penuh kasih sayang terhadap anaknya dan sangat menjaga apa yang dimiliki oleh suami.” (Muttafaqun ‘alaihi)

– Mengatur suasana rumah tangga yang rapi, bersih dan sehat sehingga tampak menyejukkan pandangan dan membuatkan penghuni rumah selesa.

3. Mendidik anak yang merupakan salah satu tugas yang termulia untuk mempersiapkan sebuah generasi yang handal dan diridhai oleh Allah swt.

Wanita keluar rumah, tapi awas adab-adabnya!

Allah swt yang bersifat  Yang Maha Mengetahui tentang maslahat (kebaikan) hambanya di dunia maupun diakhirat iaitu kewajiban wanita untuk tetap tinggal di rumah. Namun bilamana ada kepentingan, diperbolehkan baginya keluar rumah untuk memenuhi kebutuhannya. Rasulullah saw bersabda:

“Allah telah mengizinkan kalian untuk keluar rumah untuk menunaikan hajat kalian.” (Muttafaqun ‘alahi)

Namun juga Rasulullah saw bersabda :

“Wanita itu adalah aurat maka bila ia keluar rumah syaithan menyambutnya.” (HR. At Tirmidzi)

Sehingga wajib baginya ketika hendak keluar harus memperhatikan adab yang telah disyariatkan oleh Allah swt dan Rasul-Nya saw iaitu:

a.Memakai jilbab yang syar’i sebagaimana dalam suratAl Ahzab: 59.
b.Atas izin dari suaminya, bila ia sudah menikah.
c. Tidak boleh bersafar kecuali dengan mahramnya. (HR. Muslim no. 1341)
d. Menundukkan pandangan. (An Nur: 31)
e. Berbicara dengan wajar tanpa mendayu-dayu (melembut-lembutkan). (Al Ahzab: 32)
f. Tidak boleh melenggak lenggok ketika berjalan.
g. Hindari memakai wewangian. (Al Jami’ush Shahih: 4/311)
h. Tidak boleh menghentakkan kaki ketika berjalan agar diketahui perhiasannya. (An Nur: 31)
i. Tidak boleh ikhtilath (campur baur) antara lawan jenis. (Lihat Shahih Al Bukhari no. 870)
j. Tidak boleh khalwat (menyepi dengan lelaki lain yang bukan mahram) (Lihat Shahih Muslim 2/978).

Setelah mengetahui hak dan tanggung jawab wanita sedemikian rupa, rapi dan serasi yang diatur oleh Islam, apakah bisa dikatakan sebagai wanita pengangguran atau kuno? Renungkanlah wahai kaum wanita terutamanya si ibu, bagaimana kedaan suami dan anak-anak kalian setelah kalian tinggalkan tanggung jawab sebagai isteri penyejuk hati suami dan penyayang anak-anak!