Awas Panahan Cinta…Segerakan Pernikahan

14 Dec

Ana nukilkan artikel ini buat adik-adik generasi harapan yang kini masih suci dari kemelut percintaan yang kotor, agar apa yang ana nukilkan ini menjadi panduan dalam hidup mereka.

Mengimbau zaman remaja ana dulu, terasa segan bilamana keluarnya perkataan ‘cinta’ dari mulut ini. Pada ketika itu, almaklumlah ilmu masih cetek, bila berbicara tentang cinta, mesti yang diimaginasikan oleh minda ini adalah cinta dalam sebuah perkahwinan, cinta suami-isteri. Terasa segan berbicara tentang alam perkahwinan biarpun bersama kawan-kawan perempuan apatah lagi di hadapan pelajar lelaki. Mungkin ketika itu ana masih belum bersedia untuk dicintai dan mencintai dan juga tiada pun impian untuk membina rumahtangga di alam pembelajaran ini.

Kenapa ana segan dan malu untuk bercinta suatu ketika dulu atau yang lebih tepatnya sebelum berkahwin? Kerana diri ana menganggap cinta itu suatu yang kotor. Cinta menjadikan ana mundur dan tidak fokus pada kerja dan studi. Ana risau jika cinta itu membuatkan ana berada di bumi khayalan dan akan menjejaskan impian hidup ana untuk menjadi insan yang berjaya berbakti pada nusa dan bangsa. Tetapi, cinta itu tetap hadir dalam diri ana sebaik sahaja datangnya lamaran pernikahan dari insan yang ana cintai kini-zaujiy habibi. Kenapa cinta itu datang tanpa ana membutuhkannya? Kerana cinta seorang lelaki kepada wanita dan cinta wanita kepada laki-laki adalah perasaan manusiawi yang bersumberkan dari fitrah yang diciptakan Allah swt di dalam jiwa manusia, iaitu kecenderungan kepada lawan jenisnya ketika telah mencapai kematangan fikiran dan fizikalnya. Sepertimana firmanNya dalam surah Ar-Rum ayat 21 yang bermaksud :

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya adalah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri,supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antara kamu kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat  tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

Cinta pada hakikatnya bukanlah sesuatu yang kotor, kerana kekotoran dan kesucian tergantung dari bingkainya. Ada bingkai yang suci dan halal dan ada bingkai yang kotor dan haram. Kini, setelah dua tahun ana manggapai cinta sejati selepas Allah dan Rasul, ana merasai cinta yang sejati terkandung di dalamnya makna kasih sayang, keharmonisan,penghargaan dan kerinduan di samping mengandungi persiapan untuk menempuh kehidupan di kala susah ataupun senang.

Cinta bukanlah hanya sebuah ketertarikan secara fizikal sahaja. Ketertarikan kepada ketampanan si jejaka hanyalah permulaan cinta tetapi ingat, itu bukanlah tujuannya. Dan sudah fitrah manusia untuk menyukai keindahan. Tetpai, di samping keindahan bentuk dan rupa harus disertai keindahan keperibadian dengan akhlak dan qudwah yang baik.

Islam adalah agama fitrah kerana itulah Islam tidak membelenggu perasaan jiwa manusia. Islam tidak mengingkari perasaan cinta yang tumbuh dari lubuk sanubari seorang insan yang kerdil di hadapan TuhanNya. Akan tetapi, Islam telah mendidik hati-hati ini untuk menuntun cinta yang tumbuh ke arah jalan yang diredhaiNya agar cinta yang sedang mekar itu dijaga, dirawat dan dilindungi dari segala kehinaan dan apa sahaja yang dapat mengotori kesuciannya.

Kerana itulah, Islam menganjurkan umatnya untuk bernikah. Moga-moga cinta yang tumbuh dapat disalurkan kepada amal yang baik dan suci. Ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah  yang bermaksud, “ Tidak terlihat di antara dua orang yang saling mencintai(sesuatu yang sangat menyenangkan) seperti pernikahan”(Sunan Ibnu Majah)

Pernikahan dalam Islam merupakan sebuah kewajipan bagi yang mampu. Dan bagi insan yang saling mencintai, pernikahan seharusnyalah menjadi tujuan utama mereka. Sedih dan kasihan bilamana ada di kalangan sahabat-sahabat ana yang sedang hangat bercinta tetapi belum bersedia untuk menikah. Pelbagai alasan diutarakan tetapi hakikatnya jemputan walimatul urus belum kunjung tiba. Mereka hanyut dalam kenikmatan yang dilimpahi dosa dan noda dan ada yang sanggup menyerahkan harga diri kerana sebuah cinta terlarang!

Oleh itu, percintaan yang tidak berhujung kepada pernikahan bahkan disertai hal-hal yang diharamkan agama tidak dibenarkan oleh Islam. Percintaan tanpa didasarkan oleh tujuan hendak menikah adalah sebuah perbuatan maksiat yang diharamkan oleh Islam.  Kerana batas antara cinta dan nafsu berahi pada dua orang manusia yang saling mencintai sangatlah nipis sehingga pernikahan merupakan ubat yang paling mujarab untuk mengatasinya.

Pernikahan adalah sebuah perjanjian suci yang menjadikan Allah swt sebagai pemersatunya. Dan tidak ada yang melebihi ikatan ini. Mitsaqan ghalizan…sebuah perjanjian besar. Dan inilah puncak segala kenikmatan cinta itu di mana kedua orang yang saling mencintai itu memilih  untuk hidup bersama dan saling berjanji untuk saling mengasihani dan berbagi hidup baik suka ataupun duka.

Ayuh…awasi panah cinta dari syaitan laknatullah..laksanakan pernikahan dengan segera moga di situ adanya keberkatan duniawi dan ukhrawi.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: